Saturday, December 17

Politik Pelik Dalam PAS.


Pas tidak sedar selama ini, parti itu lemah bukan kerana UMNO tetapi akibat tindakan mereka sendiri yang terlalu menjaga hubungan politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Begitulah juga dalam isu melibatkan Datuk Dr. Hasan Ali yang kini hangat diperkatakan. UMNO tidak semena-mena dikaitkan apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengatakan Exco Kerajaan Negeri Selangor itu dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa terperangkap dengan agenda UMNO untuk melemahkan Pas.

Soalnya, apa kaitan UMNO dalam isu Hasan? Siapa sebenarnya yang membuat kenyataan bahawa Hasan digugurkan daripada menjadi calon Pas dalam pilihan raya umum nanti? Pemimpin Pas atau pemimpin UMNO?

Kenapa pula UMNO hendak menentukan nasib Hasan? Beliau bukannya wakil rakyat UMNO tetapi wakil rakyat Pas?

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Nasharudin amalan politik 'pelik' yang berlaku dalam Pas, apabila UMNO diseret bersama bagi menutupi pergolakan dalam Pas.

Sebenarnya kepimpinan Pas semakin resah apabila tidak mampu membendung isu pengguguran Hasan kerana ia mula menjadi topik yang paling merimaskan penyokong-penyokong Pas.

Mereka tertanya-tanya kenapakah seorang pemimpin yang memperjuangkan Islam dan kepentingan orang Melayu mahu 'disingkirkan' hanya semata-mata beliau lantang dalam isu berkenaan.

''Ana nak sampaikan pesan ahli di peringkat bawah, Hasan Ali ini bukan kecil anak. Di kalangan ahli Pas pun masih ramai yang sayangkan dia.... Pada ana bukan soal Hasan Ali rapat dengan UMNO atau tidak. Kalau UMNO yang lebih menghormati dia, apakah kita masih mahu salahkan Hasan Ali? Beliau pun manusia biasa.''

Demikian luahan salah seorang penyokong Pas yang ternyata kecewa dengan isu Hasan. Pandangan penyokong Pas ini dilihat 'lebih matang' berbanding sesetengah pemimpin Pas yang terus menyalahkan UMNO.

Inilah masalah Pas sejak dulu, kini dan selamanya, apa juga kemelut yang berlaku dalam parti itu segala-galanya ditunding jari kepada UMNO.


Kita masih ingat bagaimana setiap kali muktamar Pas atau Perhimpunan Agung UMNO, pemimpin Pas akan membuat kenyataan bahawa ahli-ahli Pas lebih terbuka mengkritik parti itu berbanding pemimpin dan ahli UMNO.

Tetapi apa yang berlaku kepada Hasan jelas menunjukkan seolah-olah di dalam Pas tidak boleh ada pejuang atau sebarang usaha untuk menegur kesilapan kepimpinan, jika itu berlaku pemimpin yang terlibat akan dikaitkan dengan UMNO.

Akibat pandangan dangkal inilah yang menyebabkan usaha menyatukan orang Melayu gagal apabila Pas menolak pelawaan UMNO bagi tujuan berkenaan dengan alasan pemimpin Pas yang melaksanakan usaha tersebut adalah boneka UMNO.

Pemimpin-pemimpin Pas perlu faham bahawa Pas bukanlah parti yang sempurna, kenyataan Hasan tidak ada kaitan dengan UMNO, beliau membuat kenyataan berkenaan sebagai tindak balas terhadap politik dalaman Pas.

Oleh itu kenapakah UMNO hendak dipersalahkan? Apakah Pas fikir UMNO merancang segala-galanya yang berlaku dalam parti itu bagi melemahkan Pas menjelang pilihan raya?

Kalau itulah tafsiran pemimpin-pemimpin Pas, ternyatalah mereka salah. Ia memandangkan apa yang berlaku kepada Pas adalah salah parti itu sendiri.

Pas lemah bukan kerana UMNO tetapi Pas lemah kerana kegelojohan mereka berpolitik dan terlalu ghairah mencapai impian untuk menawan Putrajaya bersama PKR dan DAP.

Cuba fikirkan, apakah UMNO yang mendesak Pas mengubah hala tujunya daripada memperjuangkan negara Islam kepada negara kebajikan? Bukankah Pas berbuat demikian kerana tidak mahu perjuangan negara Islam menggugat hubungan dengan PKR dan DAP.

Kalau Pas benar-benar konsisten dan percaya bahawa perjuangan mereka menegakkan Islam akan diberkati Allah SWT, kenapakah menggugurkan perjuangan negara Islam?

Apabila tindakan itu dilihat mula menimbulkan konflik di kalangan penyokong-penyokongnya maka UMNO dipersalahkan kerana dikatakan memutar belitkan tindakan berkenaan? Bijakkah tindakan ini?

Pas perlu faham UMNO tidak perlu berbuat apa-apa untuk melemahkan Pas kerana Pas sendiri pun sudah cukup lemah sebaik sahaja berkawan dengan PKR dan DAP.

Ia memandangkan mereka tidak berupaya melawan kehendak pemimpin-pemimpin PKR dan DAP yang dilihat jauh lebih konsisten dalam mempertahankan prinsip perjuangan mereka, jadi jangan salahkan UMNO akibat kejahilan' sendiri.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive