Sunday, December 18

Ostaz Azizan Lena,Rakyat Kedah Tanggung Derita.



Pendapatan lebih 100 pekerja bas henti-henti CityLiner terjejas selepas operasi untuk 18 daripada 20 laluan melibatkan beberapa kawasan di negeri Kedah dihentikan sejak awal bulan ini kerana tidak mampu menanggung kos perbelanjaan yang tinggi.
Pengerusi Kesatuan Pengangkutan Awam Semenanjung Malaysia (TWU) Sesi Alor Setar, Mohd Shukri Mahmood berkata, tindakan menghentikan operasi menyebabkan pendapatan pekerja berkurangan daripada biasa.
Menurutnya, walaupun bas tidak beroperasi seperti biasa, pekerja tetap datang bertugas untuk melakukan kerja-kerja biasa, dengan anggaran pendapatan sekitar RM17 sehari.
"Kebanyakan pekerja bergantung kepada trip, komisen dan elaun kerja lebih masa. Jika sebelum ini mereka mampu memperoleh pendapatan lebih RM800 sebulan, kini mereka hanya mampu memperoleh sekitar RM400 sebulan.
"Bukan sahaja pekerja yang merasai kesannya, malah ribuan penumpang yang sering menggunakan perkhidmatan bas henti-henti ini turut terjejas," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Stesen Bas Pendang, hari ini.
Mohd Shukri berkata, antara laluan yang dihentikan operasi ialah untuk 13 taman sekitar Sungai Petani, laluan Pendang-Alor Setar, Alor Setar-Kangar serta laluan dari Sungai Petani ke Kulim, Baling dan Jeniang.
"Hanya operasi melibatkan laluan Sungai Petani-Butterworth dan Sungai Petani-Alor Setar yang dikekalkan.
"Ramai pekerja yang terjejas, justeru saya berharap pihak berkenaan termasuk syarikat bas dapat mengadakan rundingan segera bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.
Sementara itu, seorang pemandu bas, Ahmad Dahlil, 59, ketika ditemui berkata, pemberhentian operasi bas di beberapa laluan itu menyebabkan pendapatan bulanannya dan rakan lain terjejas.
"Saya menjadi pemandu bas sejak tahun 1981 namun ini kali pertama berhadapan dengan masalah seperti ini. Memang kami masih mempunyai pekerjaan tetapi sumber pendapatan semakin berkurangan kerana bas tidak dapat beroperasi seperti biasa.
"Jika sebelum ini, selain waktu kerja lapan jam iaitu bermula jam 6 pagi hingga 2 petang, saya boleh kerja lebih masa untuk dua hingga empat jam lagi dan mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kini tidak lagi," katanya.

Ketiadaan perkhidmatan bas sukarkan pergerakan
Seorang penduduk, Zaiton Shafie, 46, sering menggunakan perkhidmatan bas henti-henti untuk membeli barangan keperluan harian pada setiap hari minggu, dari rumahnya di Kobah ke pekan Pendang atau pekan Simpang Kuala.
"Bagaimanapun, saya terkejut setelah dimaklumkan bahawa bas yang melalui kawasan rumah saya tidak lagi beroperasi seperti biasa menyebabkan saya terpaksa menyewa teksi.
"Selalunya, harga tiket bas hanya RM1.30 tetapi apabila menyewa teksi, saya perlu membayar RM6 untuk perjalanan sehala sahaja dan ini sudah pasti membebankan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap syarikat bas berkenaan Kenderaan Langkasuka Sdn Bhd, ketika dihubungi berkata, syarikat terpaksa menanggung kerugian hampir RM400,000 sebulan, sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, pihaknya sudah menghantar dua surat kepada Kerajaan Negeri bertarikh 10 November dan 22 November lalu bagi memaklumkan mengenainya.
"Difahamkan, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sudah menyatakan kesediaan untuk bertemu dan membantu mencari penyelesaian terhadap masalah itu dalam masa terdekat.
"Kita bimbang ramai yang akan terjejas jika masalah ini terus berlarutan, apatah lagi sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi," katanya yang berharap agar operasi bas yang dihentikan dapat disambung semula awal Januari depan.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive