Memang lidah tidak bertulang. Namun manusia diberi akal untuk mengimbangi hati dan perasaan. Kerana itu, kita dianjurkan berfikir sebelum bercakap. Jika tidak, akibatnya mungkin buruk dan berpanjangan.
Apa yang berlaku kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamed Sabu, patut dijadikan iktibar, bukan sahaja oleh orang politik, malah sesiapa saja. Akibat menghina tentera dan polis dengan menyamakan mereka sebagai barua penjajah, sebaliknya menyanjung komunis semasa berceramah tidak lama dulu, beliau tidak lagi dihormati veteran pasukan keselamatan.
Kemarahan mereka sehingga tidak mahu mendengar ceramah Mat Sabu lagi. Di beberapa tempat di Johor dan Negeri Sembilan, kekecohan berlaku apabila mereka dihalang penyokong Pas kerana mahu bersemuka dengan ayam tambatan Pas ini. Usaha Mat Sabu mahu berjumpa sendiri dengan keluarga bekas anggota polis balai Bukit Kepong untuk memberi penjelasan ditolak mentah-mentah. Kemuncak kemarahan ialah apabila veteran polis dan tentera menyiarkan iklan penuh muka di beberapa akhbar harian utama bulan lalu. Seingat saya, inilah pertama kali perkara ini berlaku dalam sejarah negara kita.
Ucapan seorang ustaz Pas menyamakan Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan Nabi Muhammad SAW baru-baru ini juga satu contoh bercakap tanpa fikir. Ekoran itu, beliau dikecam hebat oleh masyarakat, termasuk golongan agama, dan disarankan supaya bertaubat.
Dalam sejarah politik negara, banyak contoh di mana pemimpin dan ustaz Pas yang bercakap tanpa berfikir atau bercakap dahulu baru berfikir. Paling diingati ialah ucapan Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang di Banggol Peradong tahun 1981 yang mengkafirkan orang Umno. Amanat Hadi ini memporak-perandakan masyarakat sehingga berlaku pulau-memulau, sembahyang dua imam, perceraian suami isteri dan perpecahan antara saudara seagama. Kesannya masih ada sehingga hari ini, sehingga mendapat perhatian Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.
Nik Aziz sendiri sering mengeluarkan pandangan mengelirukan. Menurut bekas kawan karibnya, Prof Madya Mohd Nor Idris, pengetahuan terhad Nik Aziz dalam banyak cabang ilmu agama menyebabkan beliau banyak menggunakan akal sendiri, tidak semestinya berpandukan nas semasa bercakap atau memberi pendapat. Kerana itulah ada pandangannya yang tidak tepat atau serong, sehingga pemimpin Pas lain terpaksa memberi penerangan tambahan atau hujah sokongan.
Penyakit ini sudah berjangkit kepada pemimpin DAP. Mereka pula yang menggelar pemimpin Islam sebagai ‘haram jadah’. Negeri berdaulat di bawah Raja Melayu dipanggil ‘Darul Kartun’. Kebiadaban ini adalah kerana mereka diberi galakan oleh Pas. Apabila ada pemimpin DAP mengaku mahu melaksanakan pentadbiran ala-khalifah, maka Pas mengangkat parti cauvinis Cina itu sebagai ‘lebih Islam’ daripada Umno. Pas juga tidak berasa apa-apa bila orang bukan Islam mengguna istilah ‘ALLAH’ atau menyebar Injil dalam bahasa Melayu dan tidak mahu bersama NGO Islam lain dalam menangani gejala murtad. Sebaliknya, mereka mempertahankan pemimpin DAP yang mencemari surau atau membantah azan di kawasan perumahan.
Tidak hairanlah berlaku pemberontakan dalam parti itu. Mutakhir ini, perang mulut antara pucuk pimpinan Pas benar-benar merimaskan peringkat bawahan, semuanya gara-gara Ketua Penerangan Pas Selangor yang terlepas cakap, atau cakap tanpa fikir.
Seseorang pemimpin eloknya sedar dan bertanggungjawab terhadap apa dicakapkan. Pemimpin yang bercakap merapu, berbohong atau berdolak-dalik akan hilang kredibilitinya. Ingatlah amaran ALLAH SWT: “...dan ALLAH menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.” (10:100)
Ikutlah cara Nabi Muhammad SAW, yang cukup berhati-hati apabila bercakap. Apa yang diucapkan Rasulullah SAW menjadi panduan seluruh umat Islam sehingga sekarang.
No comments:
Post a Comment