Saturday, December 17

kelestarian Felda Dibahu Generasi Kedua.



Kenapa NGO yang membantah penyenaraian ini mahu campur tangan dalam usaha Felda meningkatkan pendapatan peneroka di samping menjaga kebajikan generasi kedua?

Mengapa mereka tidak mahu menerima hujah bahawa generasi Felda tidak boleh mengharapkan hasil komoditi dari ladang kelapa sawit atau getah bapa atau ibu mereka semata-mata.

Hakikat bahawa semua generasi kedua Felda harus buka mata ialah kini tiada lagi tanah rancangan baru dibuka. Dan adakah masa depan agensi Felda akan berterusan sebagai pengurus ladang semata-mata?

Kini tanggungjawab bagi kelestarian Felda terletak di bahu generasinya. Generasi muda kena bangun untuk menyambungkan kejayaan yang telah diraih oleh ibu bapa mereka dalam bentuk ekonomi baru.

Kalau dulu, kerajaan sediakan tanah, kini satu perancangan yang rapi dan teratur perlu disediakan untuk membangunkan generasi kedua dan seterusnya bagi menjamin kelestarian Felda.

Bagi MKP, Felda harus dimajukan sejajar dengan perubahan global dan juga transformasi kerajaan. Dalam konteks ini perlu ada anjakan minda - baik kepada peneroka dan anak-anak mereka.

Cara kerja 50 tahun dulu dan 50 tahun kemudian amat berbeza. Dulu agensi Felda sediakan platform misalnya tanah dan bimbingan untuk membangunkan 112,635 peneroka. Tetapi 50 tahun akan datang, kerajaan perlukan perspektif yang berbeza untuk menguruskan Felda sama ada dari segi teknologi, kemahiran dan kepakaran.

Selaras dengan hasrat Model Baharu Ekonomi (MBE) ke arah negara berpendapatan tinggi, strategi meningkatkan nilai tambah bagi setiap produk yang dihasilkan adalah dengan menggalakkan aktiviti pemprosesan dan rantaian pembuatan.

Oleh sebab itu anjakan pertama yang dibuat oleh Perdana Menteri ialah memastikan Felda itu diangkat ke peringkat antarabangsa menerusi langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings.

Kejayaan penyenaraian demi kepentingan peneroka sudah terbukti. Jika dilihat perbandingan dari segi saiz, produk gula Felda adalah lebih kecil daripada kelapa sawit tetapi Felda telah memperolehi keuntungan RM300 juta daripada percubaan pertama menyenaraikan MSM Holdings ke dalam bursa.

Jadi apabila makanan asas gula yang tidak begitu besar dari segi peratusan pendapatan Felda boleh meningkat begitu baik, tidak ada sebab mengapa kelapa sawit yang merupakan teras pendapatan Felda, kalau diapungkan sudah pasti mampu memberi nilai tambah yang berlipat ganda dan menjadikan Felda peneraju global dalam industri kelapa sawit.

Memang Felda telah pun kukuh dalam aktiviti huluan dan bisnes Felda Global Ventures Holdings menjurus aktiviti hiliran sebenarnya telah membukakan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada generasi Felda. Malah aktiviti ini bakal mempelbagaikan lagi sumber pendapatan peneroka dan generasi seterusnya.

Kepelbagaian ini penting kerana Felda adalah agensi bagi pembangunan sosio ekonomi warga Felda dan tidak boleh bergantung kepada aktiviti huluan yang tidak menentu.

Menerusi penyenaraian ini, ia akan mewujudkan lebih banyak limpahan rezeki dan peluang. Oleh itu generasi baru Felda perlulah mengambil peluang ini dengan sebaik-baik mungkin.

Kini platform telah pun disediakan kepada warga Felda untuk mengambil kesempatan daripada pelbagai potensi peluang hasil daripada penyenaraian ini kelak.

Apa yang Perdana Menteri tekankan ialah generasi baru Felda perlu menganjak minda dan berubah sikap walaupun duduk di luar bandar dan menjadi model aset luar bandar yang berupaya mempelbagaikan pendapatan mereka.

Apakah generasi Felda tidak mahu mengulangi kejayaan bapa dan ibu mereka bagi melestarikan Felda ke peringkat pertumbuhan seterusnya ataupun mereka mahu mengikut segelintir pihak tertentu yang mungkin mempunyai agenda politik sempit atau kepentingan peribadi yang hingga sanggup menidakkan rezeki dan peluang orang lain untuk menikmati kejayaan yang diusahakan selama ini.

Generasi kedua, ketiga dan seterusnya mesti menyokong usaha murni ini bagi memastikan dana Felda sentiasa bertambah dan berjaya membawa Felda dan generasi baru misalnya, ke gerbang perniagaan dan pasaran antarabangsa yang mana segala manfaat dan peluang pekerjaan dapat dijanakan untuk mereka di dalam dan luar negara.

Dana yang sentiasa bertambah amat perlu bagi meneruskan segala usaha untuk pelbagai pembangunan infrastruktur, rohani dan jasmani, modal insan yang cemerlang dari segi sosio ekonomi negara khasnya dan rakyat serta warga Felda amnya. Segala ini memerlukan dana yang berterusan dan lestari.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive