Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menafikan dakwaan bahawa beliau terlibat dengan pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu sepertimana yang didakwa penulis blog Raja Petra Kamaruddin.
Dalam biografinya yang mula dijual hari ini, Rosmah berkata beliau pada ketika itu menghadiri masjlis berbuka puasa dengan Persatuan Kebajikan Anak Yatim Islam di Kuala Lumpur pada hari Altantuya dibunuh, 19 Oktober 2006.
"Saya berada di bangunan Tabung Haji dari petang hingga malam. Ramai saksi saya berada di sana," memetik tulisan dalam buku 140 muka surat itu.
"Saya akan lari kalau cicak jatuh depan saya. Saya juga takut gelap. Apatah lagi nak panjat bukit di tempat pembunuhan," kata Rosmah dalam buku berkenaan.
Beliau juga berkata telah disoal selama enam jam di Bukit Aman atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Altantuya dipercayai telah diletupkan menggunakan bahan letupan C4 dalam sebuah hutan di Shah Alam.
Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar didapati bersalah atas dakwaan membunuh penterjemah bahasa itu yang dikaitkan dengan skandal pembelian dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.
Mengenai skandal cincin berlian bernilai RM24 juta, Rosmah dalam biografinya berjudul 'Biografi Rosmah Mansor' berkata adalah menjadi kebiasaan bagi isteri perdana menteri untuk menerima perhiasan yang mahal dalam lawatan rasmi.
"Ketika menyambut tetamu, adalah penghargaan biasa bagi mereka untuk memberi hadiah sebagai peringatan. Antara hadiah ini termasuk cincin, jam, perhiasan. Sesetengah adalah sangat mahal dan dibuat khas," tulisnya lagi.
No comments:
Post a Comment