Wednesday, March 6

VIDEO & GAMBAR TERKINI : #OpsDaulat #LahadDatu


Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid meminta orang ramai supaya tidak memperlekehkan usaha yang sedang dijalankan oleh tentera dan polis menggeledah lokasi pertempuran dengan kumpulan pengganas di Kampung Tanduo dekat sini.



Katanya, kerajaan tiada apa-apa yang hendak disembunyikan sebaliknya usaha itu terpaksa dilakukan dengan berhati-hati kerana ia berisiko tinggi.

"Jangan diperlekehkan apa yang dilakukan ini," katanya dalam satu sidang media di Felda Sahabat 16, dekat sini.

Sidang media itu dihadiri sama oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pada sidang media tersebut, dua menteri itu mendedahkan beberapa keping foto yang menunjukkan bukti-bukti kejayaan pihak berkuasa.

Foto pengganas Operasi Daulat

"Ini adalah gambar yang selama ini ditunggu oleh masyarakat. Inilah operasi yang dilakukan oleh pasukan keselamatan kita," kata Ahmad Zahid sambil mengangkat sekeping daripada foto berkenaan.

Foto itu antara lain menunjukkan sembilan mayat pengganas yang dikebumikan dalam sebuah kubur besar.

Foto-foto lain menunjukkan antaranya senjata yang dirampas dan sebuah kubur lain yang menempatkan tiga mayat pengganas.
Foto mayat pengganas Ops Daulat

Sehingga ini, 13 pengganas disahkan terbunuh termasuk seorang yang ditembak mati dalam pertempuran pukul6.45 pagi tadi.

Menurut Ahmad Zahid, kubur itu telah ditemui oleh pasukan keselamatan semasa operasi menggeledah. Operasi kemudian disertai oleh pasukan forensik yang memeriksa mayat-mayat yang ditemui.

Hishammuddin dalam pada itu menjelaskan bahawa operasi penggeledahan itu mengambil masa kerana ia perlu dilakukan dengan cukup hati-hati kerana keadaan bentuk muka bumi yang sukar serta ancaman serangan pengganas yang masih bersembunyi.

Beliau mendedahkan bagaimana anggota forensik polis telah diserang oleh pengganas semasa memeriksa sebuah kubur yang ditemui. Kejadian itu berlaku pukul 1.45 tengahari tadi.

"Bagaimanapun tidak ada insiden yang mencederakan anggota keselamatan kita setakat ini," tambah Hishammuddin.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan berkongsi dengan orang ramai perkembangan lanjut operasi dari masa ke masa apabila ada maklumatnya ada.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa tahap semangat anggota polis dan tentera yang terlibat bekerjasama dalam operasi tersebut berada pada tahap yang tinggi dan memberangsangkan.


No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive