exponegaraku

Wednesday, May 30

Saya Mohon Maaf, Terimalah Saya seadanya – Madun


LOMBOK: “Saya ingin minta maaf kepada kedua mentua kerana melarikan Su ke Lombok. Bukan berniat melukakan hati mereka, saya sayangkan dia dan perkahwinan kami. Semoga kami dapat membina keluarga bahagia sebaik saya bekerja di Malaysia nanti,” kata Madon Aban, 32, pemuda Lombok yang melarikan Suriani Abdul Wahab sebelum bernikah dengannya hampir lima tahun lalu.


Menurutnya, sebagai lelaki bertanggungjawab, dia juga selalu menasihati Suriani yang lebih mesra dengan panggilan Su supaya memohon maaf kepada ibu bapa dan ahli keluarga kerana meninggalkan mereka untuk ke Lombok kerana sedar restu keluarga itu penting di dalam meneruskan kehidupan.

Madon berkata, dia sendiri sering berbual dengan keluarga mentuanya itu menerusi telefon dan bertanya khabar mereka dan sebagai suami, dia tidak pernah menghalang Su berhubung dengan adik beradiknya kerana tahu isterinya juga rindukan kampung halaman dan sanak saudara.

“Sebab itu saya tak halang dia pulang ke Malaysia bertemu mereka kerana itu yang terbaik. Saya akan menyusul selepas mendapat semua dokumen berkaitan. Buat masa ini, ia masih dalam proses,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Setiausaha Agung Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Abdul Khalid Chairul di Kampung Orong, Lombok Barat semalam.

Madon berkata, dia terlalu sayangkan isterinya menyebabkannya bersetuju memberikan kerjasama kepada KP1M untuk membawa pulang Su bertemu keluarganya di Baling Kedah.

“Itu yang terbaik buat masa ini dan saya mahu dia menjadi anak yang taat. Terima kasih juga kepada mentua kerana menerima saya seadanya dan sudi memaafkan saya walaupun dengan apa yang berlaku,” katanya.

Pada pertemuan itu, Madon sempat meneliti laporan akhbar Harian Metro Sabtu lalu yang memetik ibu mentuanya, Siti Zaleko Wahab, 52, menerima kehadirannya sebagai menantu dan melupakan kisah silam membabitkan dirinya.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi perkarangan rumah Madon selepas pegawai Imigrasi Indonesia dan KP1M membawa Su pejabat pihak berkuasa itu di Kota Mataram untuk proses dokumentasi.

Paling menyentuh hati apabila anaknya, Ismadani, 3, menangis teresak-esak kerana tidak mahu melepaskan dia pergi sehingga terpaksa ditenangkan bapanya dan saudara mara terdekat.

Ibu mentuanya Ajiminari,70an, kelihatan sebak ketika Suriani bersalaman dengan ahli keluarga dan dia tidak ditemubual kerana begitu sedih kerana terpaksa merelakan pemergian menantu tunggalnya itu.

Turut hadir mengucapkan selamat jalan ialah jiran terdekat yang menyifatkan Su sebagai seorang yang baik dan mudah mesra selain pandai mengambil hati mereka biarpun pada peringkat awal berdepan budaya baru di pulau berkenaan.MV


- Posted using BlogPress from my iPad

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive