Monday, February 27

Kes Khalwat Badrulamin : Peluang Yang Dinanti Pejabat Menteri Selangor.



Dalam usaha untuk menjarakkan diri daripada isu Dr Badrulamin Bahrom disiasat bersabit tuduhan khalwat, Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah luar biasa “menasihati” Pengarah Penerangan Selangor itu bercuti sebulan sehingga beliau dapat membersihkan namanya.

“Nasihat” itu dikeluarkan oleh Sekretariat Media Pejabat Menteri Besar di bawah kelolaan Setiausaha Akhbar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim iaitu Arfa’ Eza Abdul Aziz.

Kenyataan itu menyebut bahawa Arfa sendiri akan mengambil alih tugas-tugas Badrulamin itu.

Rasanya Arfa atau sesiapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan itu lewat semalam bukannya memberi “nasihat” kepada Badrulamin untuk bercuti tetapi memang mengarahkan beliau untuk berbuat demikian.

Jika nasihat, Arfa tentunya tidak bingkas untuk mengumumkan dalam kenyataan yang sama, bahawa beliau akan mengambil alih tugas Badrulamin sebagai Ketua Penerangan di Pejabat Menteri Besar.

Kemelut yang dihadapi oleh Badrulamin bukanlah sesuatu yang ringan, malah memberikan kesan kepada imejnya sebagai seorang pendakwah terkenal dalam barisan pemimpin Parti Keadilan Rakyat.

Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempertahankan Badrulamin dengan menegaskan beliau seorang diri dalam sebuah billik hotel di Kuatan ketika ditahan Sabtu lalu.

Anwar tidak melihat sebarang keperluan menasihati Badrolamin “bercuti” daripada jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR sehingga beliau “dibersihkan”
daripada tuduhan itu.

Jadi kenapa Kerajaan Negeri Selangor pula terpanggil mengeluarkan arahan supaya Badrulamin mengosongkan jawatannya itu yang disandang sejak tahun 2010 di Pejabat Menteri Besar.

Kalau mengikut protokol untuk kakitangan awam, siasatan sahaja tidak mengundang kepada sebarang tindakan terhadap mana-mana penjawat untuk bercuti.
 
Langkah itu diambil hanya apabila seseorang dituduh dan seterusnya dibuang kerja jika disabit kesalahan.

Arahan bercuti yang diberikan kepada Badrulamin sebenarnya berpaksi kepada politik dalaman di dalam PKR, khususnya antara Menteri Besar dan wakil rakyat PKR yang
menolak kepimpinan beliau.

Pelantikan Badrulamin sebagai Pengarah Penerangan Selangor dibuat di atas arahan Anwar setelah wakil rakyat daripada parti itu menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Khalid pada kongres nasional parti itu tahun 2010.

Rasa tidak puas hati itu bertumpu kepada apa yang dilihat oleh pemimpin PKR sebagai kegagalan Khalid membina jentera pilihan raya peringkat parti bagi memastikan Selangor kekal di tangan PKR pada PRU akan datang.

Mereka bimbang kerana PKR ketandusan dana dan aktiviti untuk menarik sokongan pengundi khususnya di luar bandar.

Bagaimanapun pelantikan Badrulamin sebagai Pengarah Penerangan tidak disenangi oleh Pejabat Menteri Besar sendiri yang menganggapnya satu penghinaan.

Justeru Badrulamin dicantas sebaik sahaja beliau menerima jawatan itu yang sepatutnya setaraf dengan Pengarah Jabatan-jabatan lain dalam struktur kerajaan negeri Selangor.

Bukan sahaja beliau ditawarkan gaji rendah berbanding pegawai lain di Pejabat Menteri Besar, tetapi Badrulamin tidak diberikan kakitangan sokongan untuk menjalankan kerja-kerja beliau. Badrulaminlah pengarah penerangan, beliau juga kerani dan setiausaha.

Pejabat beliau di Rumah Exco ditarik balik dan Badrulamin diarah melapor diri di pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Isu Badrulamin bukan sahaja mengenai siasatan khalwat yang akan diselesaikan sama ada di mahkamah atau di luar mahkamah.

Lebih penting ialah isu Badrulamin mencerminkan pendarahan dalaman Parti Keadilan Rakyat, di antara pemimpin-pemimin kanannya yang bercita-cita merampas Putrajaya.

Kemelut yang dihadapi oleh Badrulamin bersama Jabatan Agama Islam Pahang diharap tidak akan memberi peluang untuk Khalid menunjukkan pendakwah itu pintu keluar daripada Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk selama-lamanya dalam usaha untuk menghantar mesej tegas kepada Anwar bahawa beliau (Khalid) adalah Menteri Besar Selangor.
 
Anwar hanya sekadar Penasihat Ekonomi bergaji satu ringgit sebulan.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive