Tuesday, February 28

OSTAD ZIZAN TERSEPIT,PAS PUSAT SUDAH GELABAH?



Apakah episod tarik tali dan beradu pengaruh serta kekuatan politik dalam pengurusan Kerajaan Negeri Kedah akan berakhir?

Atau, adakah upacara pelantikan anggota mesyuarat (Exco) Kedah bagi tahun 2012 yang akan berlangsung di Istana Anak Bukit, Alor Setar itu akan mempamerkan beberapa kelainannya?

Yang hampir pastinya ialah, besar kemungkinan tidak semua kerusi exco ini akan diisi kali ini. Mungkin ada exco atau Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sendiri akan memangku lebih daripada satu jawatan Exco.

Mungkin juga akan ada sekurang-kurangnya dua portfolio exco tidak akan diisi kerana tempoh perkhidmatan semua exco tamat 7 Mac depan.
 
Ini bererti jika semua jawatan exco mahu diisi, perlu tunggu 7 Mac, jika tidak jumlah exco, khabarnya akan menjadi 12 orang.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah menetapkan maksimum 10 jawatan exco sahaja diwujudkan.
 
Maka jika benar Azizan hanya akan mengumumkan lapan exco lama dilantik semula, dua jawatan exco kosong tidak boleh diisi sebelum 7 Mac bagi memastikan dua muka lama yang tidak dipilih semula, tamat tempoh perkhidmatan mereka.

Kedah mempunyai peraturan yang agak unik di mana tempoh khidmat Exco adalah untuk setahun sahaja. Ini bererti, setiap tahun Menteri Besar berpeluang merombak barisan exco; melantik muka baru atau mengkitar semula nama yang ada. Setiap pelantikan dibuat dengan perkenan Sultan.

Setakat ini, tahap keyakinan Azizan dalam menangani isu pelantikan exco ini amat tinggi.
 
Beliau tahu kuasa memilih senarai exco adalah hak mutlaknya sebagai Menteri Besar. Beliau percaya tidak perlu baginya merujuk kepada parti siapa yang perlu dilantiknya.

Dalam tempoh tidak sampai 24 jam sebelum majlis pelantikan berlangsung, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, memanggil satu sidang media hari ini (Isnin, 27 Februari 2012) memamklumkan Jawatankuasa Pas mahu semua 10 ahli exco sekarang dikekalkan.

Sementara Ketua Penerangan Pas , Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan khas bahawa beliau yakin isu kepimpinan kerajaan negeri Kedah yang diterajui Pas boleh diselesaikan secara harmoni melalui semangat ukhuwah dan musyawarah.

Namun yang menariknya, beliau menghuraikan kemelut itu sebagai berpunca daripada masalah maklumat yang kurang jelas.
 
Mengapa Mustafa Ali menyuarakan keputusan Jawatankuasa Pusat supaya Azizan mengekalkan semula semua exco? Adakah ini membawa mesej Pas Pusat mahu campurtangan urusan kerajaan negeri?

Azizan memang tegas. Apabila ada pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat menegurnya dalam isu penggantungan pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kerana tidak akur pada semangat Buku Jingga Pakatan Rakyat, Azizan menemplak dengan mengatakan Buku Jingga bukan al Quran.

Solannya, apakah setelah ada campurtangan Pas Pusat dalam tempoh 24 jam ini Azizan akan tukar fikiran dan akur pada arahan pimpinan tertinggi parti dan mengekalkan dua exco yang hendak digugurkannya?

Masalah ketegasan atau kedegilan Menteri Besar Pakatan Rakyat ini bukan baru. Selangor pun begitu.
 
Menteri Besarnya kalis gertakan parti. Disergah dengan petisyen supaya letak jawatan oleh pimpinan pusat pun tidak menggugat keyakinan diri Tan Sri Khalid Ibrahim.

Akibatnya, Khalid bebas menentukan apakah dasar yang difikirkan terbaik menurut seleranya di Selangor. Malangnya bila dasar pemerintahnnya sukar diterima rakyat, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat yang menjadi sasaran kebencian rakyat.

Memang menjadi amalan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat apabila tidak dapat mengurus empat negeri di bawah pemerintahannya dengan baik, alasan yang digunakan ialah kerana mereka hanya “mewarisi kelemahan” itu daripada Barisan Nasional.

Sebaliknya, sebagai memomokkan BN sebagai lawan politik mereka, pemimpin Pakatan Rakyat sering menuduh institusi awam seperti Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Badan Kehakiman sering berusaha “melindungi dan menutup” keserakahan dan salah guna kuasa konco-konco UMNO dan Barisan Nasional.

Malangnya, seperti dalam kes pungutan sampah di Selangor yang berpunca daripada keangkuhan dan kedegilan politik Menteri Besar Pakatan Rakyat mematuhi arahan parti masing-masing, disiplin dan mutu kepemimpinan serta kerapuhan muafakat Pakatan Rakyat seringkali cuba disembunyikan!

Kes penggantung pelajar KUIN, isu pasir dan pungutan sampah adalah dalil bagi kenyataan ini.

Soalnya, dalam pilihan raya yang menabur janji ialah parti, namun apabila diberi peluang memerintah di beberapa negeri, dengan mudah pemimpin di negeri Pakatan Rakyat mengenepikan janji dan perintah parti.

Soalnya, mengapa perlu rakyat mengundi parti dalam pilihan raya hanya untuk dikecewakan oleh pemimpin negeri yang tidak acuh dan tidak mahu memenuhi janji parti masing-masing? Adakah ini caranya Pakatan Rakyat mengelak dari memikul tanggungjawab mengkotakan janji pilihan rayanya?

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive