Thursday, February 23

KJ BANTAI ANWAR,JANGAN GUNA HP ISRAEL?



Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dicabar membatalkan pindaan Akta Kastam yang diluluskan oleh beliau pada tahun 1996 bagi membolehkan syarikat-syarikat swasta di Malaysia berdagang dengan Israel, jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Sementara menunggu pilihanraya umum, kerajaan negeri di Kedah,Pulau Pinang dan Selangor pimpinan pembangkang juga dicabar menarik balik lesen premis yang diberi kepada kilang dan pejabat syarikat seperti Intel, Agilent dan Motorola kerana mengimport barangan dari Israel.

Dalam mengemukakan dua cabaran itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata serangan bertalu-talu Anwar dan parti pembangkang terhadap urusniaga antara beberapa syarikat negara ini dengan Israel adalah untuk hanya untuk menutup pendirian pro-Israel Anwar.

Beliau menegaskan  Anwar adalah Menteri Kewangan bertanggungjawab yang memberikan persetujuan untuk melonggarkan Akta Kastam 1967 supaya syarikat-syarikat swasta boleh mengimport dan mengeksport barangan ke Israel.

“Oleh itu Anwar tidak boleh buat-buat tidak tahu mengenai wujudnya kelonggaran tersebut yang beliau sendiri meluluskan dengan menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional semasa,” kata Khairy.

Khairy berkata desakan pihak tertentu mahukan kerajaan mengubah balik peraturan itu dan  melarang sama sekali perdagangan dengan Israel tidak mengambil kira realiti jalinan ekonomi sedunia.
  
Beliau berkata beberapa syarikat  swasta antarabangsa yang melabur di negara ini bergantung kepada rantaian penawaran dan perniagaan merentasi sempadan.

Khairy menegaskan hubungan dagangan syarikat swasta berkenaan dengan syarikat di Israel   “bukannya digalakkan oleh kerajaan.

“Kebanyakan daripada perdagangan ini dibuat oleh syarikat-syarikat antarabangsa (MNCs) yang ada kilang di seluruh dunia termasuk Israel,” kata beliau.

“Kita kena faham bahawa di arus era globalisasi, MNCs yang melabur di negara kita mempunyai sistem rantaian penawaran (supply chain) dan perniagaan yang merentasi pelbagai Negara,” tambah beliau.

“Sebagai contoh, syarikat-syarikat antarabangsa seperti Dell, Intel, Motorola, IBM, Agilent Technologies dan Oracle kesemuanya mempunyai kilang dan pejabat di merata negara termasuklah Malaysia dan juga Israel,” tambahnya.

Realiti ini boleh dijelaskan dengan contoh proses pembuatan mikroprosesor Intel yang bermula di Amerika Syarikat dan Israel sebelum dihantar ke kilangnya di Malaysia untuk diuji, kata Ahli Parlimen Rembau itu.

“Ada juga produk-produk yang dibuat di Malaysia yang mana bahan mentahnya hanya boleh dibeli dari syarikat yang ada kilang di Israel,” kata Khairy.

“Apakah ini sama dengan sokongan politik untuk meneruskan pembunuhan rakyat Palestin? Sudah pasti tidak. Ini realiti globalisasi dan proses pembuatan yang merentasi sempadan,” jelas beliau.

Khairy berkata dalam usaha menutup salah apabila memberi sokongan terbuka kepada Israel, Anwar dan konco-konconya mensasarkan syarikat-syarikat yang berpangkalan di Malaysia dan Israel tanpa mengakui realiti globalisasi dan perdagangan antarabangsa.

Khairy berkata jika pembangkang masih menggunakan isu dagangan itu sebagai hujah mempertahankan kenyataan pro-Israel Anwar, mereka harus mengisthiarkan akan melarang hubungan perdagangan dengan Tel Aviv dalam apa bentuk jua pun.

“Sebenarnya, tak perlu kita tunggu sehingga pilihan raya. saya cabar (Anwar) meminta kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR untuk menarik balik lesen premis yang diberi kepada syarikat seperti Intel, Agilent dan Motorola kerana mereka mengimport barangan dari Israel,” kata Khairy.

“Saya juga cabar Anwar mengarahkan semua petugas parti beliau buang semua komputer dan telefon bimbit mereka yang ada komponen Intel atau Motorola kerana ia berasal dari kilang di Israel. Kalau tak dapat buat demikian, jangan nak menuding jari pada kerajaan Barisan Nasional,” tambah beliau.

Khairy berkata semua pihak harus jelas bahawa  perdagangan antara syarikat-syarikat swasta yang berpangkalan di Malaysia dan Israel adalah sebahagian daripada tuntutan dan ciri globalisasi.

"(Ini) jauh beza daripada sokongan dan pembelaan politik yang telah diberi oleh Anwar terhadap Israel dalam kenyataan beliau dalam Wall Street Journal,” kata beliau.

“Kerajaan Barisan Nasional konsisten menyokong perjuangan Palestin dan langsung tidak tergamak untuk bercakap soal keselamatan Israel sepertimana Anwar kerana menyedari bukan Israel yang dizalimi tetapi rakyat Palestin,” tambahnya.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive