Tuesday, February 28

AZIZAN DAN PHAHROLRAZI CUMA BERBEZA PENDAPAT TAHAP KRITIKAL?



Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata beliau enggan dilantik semula sebagai Exco kerajaan negeri Kedah kerana mempunyai perbezaan pendapat yang "kritikal" dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.
 
Bagaimanapun, katanya, jika pimpinan Pas Pusat mahu beliau kembali menjadi Exco, beliau bersedia mempertimbangkannya tetapi dengan syarat-syarat tertentu dan pendapatnya diambil kira.
 
Beliau yang menyifatkan masalah beliau dengan Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, sebagai masalah peribadi berkata beliau berhak untuk tidak terus menjadi Exco kerana sebagai Exco beliau perlu taat kepada ketua dan jika tidak beliau perlu "keluar". 
 
" Dalam organisasi kita hendaklah setuju dengan pemimpin kita. Kalau ada banyak perkara yang tak setuju kita tak boleh duduk dalam organisasi itu. Sebagai kerajaan kita ada tanggungjawab bersama, kalau tak setuju kena ada cara untuk kita tak susahkan mereka (ketua). Menteri Besar ada pendapat dia sendiri. Pendapat itu perlu dihormati.
 
"Perbezaan pendapat itu memang biasa. Kalau dalam 10 perkara, perbezaan pendapat hanya satu, dua tak apa tapi kalau dah enam, tujuh, ia tak wajar. Tindakan seperti ini perlu (tidak sambung untuk jadi Exco) adalah supaya organisasi lebih tenang," katanya pada sidang media di kediamannya di sini, hari ini.
 
Phahrolrazi adalah seorang daripada dua Exco yang menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan mereka dilantik semula ke jawatan itu.
 
Seorang lagi adalah Datuk Dr Ismail Salleh yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri.
 
Hari ini, hanya lapan anggota exco kerajaan negeri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan
Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini. Kelazimannya kerajaan negeri Kedah mempunyai 10 exco.
 
Phahrolrazi berkata keputusan beliau untuk tidak dilantik semula menjadi exco dan sebabnya ada dimaklumkan kepada Exco yang lain dan empat lagi Exco mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.
 
"Tapi bila hantar surat kepada Menteri Besar (untuk tidak sambung menjadi Exco), hanya saya dan Dr Ismail yang berbuat demikian. Secara peribadi saya merasakan ia tidak serius. Saya ada alasan saya, begitu juga Dr Ismail. Saya telah menjelaskan perkara itu kepada Dewan Ulama Pas Kedah dan mereka bersetuju untuk saya tak sambung. Saya juga sudah memberi penjelasan kepada pimpinan Pas Pusat daripada Presiden sampai ke bawah," katanya.
 
Mengenai andaian beliau mahu menjatuhkan Menteri Besar, katanya, jika beliau mahu berbuat demikian beliau tidak sepatutnya berhenti menjadi Exco kerana ia lebih mudah.
Ditanya sama ada dia masih ada masa untuk menerima pelantikan semula kerana tempoh pelantikannya masih ada sehingga 7 Mac depan, beliau berkata pimpinan Pas.Pusat yang melihat perkara itu sebagai serius perlu campur tangan. 
 
Bagaimanapun, Phahrolrazi yang masih bercuti sehingga 1 Mac ini berkata beliau dimaklumkan Menteri Besar telah mempersembahkan senarai nama 10 Exco yang tidak termasuk namanya dan Dr Ismail kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Yang di-Pertuan Agong.
 
" Di Kedah ni lain, Exco dilantik setiap tahun. Menteri Besar angkat sumpah sekali je (sahaja) lepas pilihan raya," katanya.
 
Ditanya sama ada masalah beliau dengan Azizan itu boleh diselesaikan melalui perbincangan dengan Menteri Besar itu, beliau berkata perbincangan telah diadakan tetapi masalah perbezaan pendapat itu masih berlaku dan kerana itu memerlukan campur tangan pusat.
 
Pada sidang media itu, Phahrolrazi turut menafikan masalah itu ada kaitan dengan kumpulan "Erdogan" atau "Anwarinas", serta pertembungan antara kumpulan profesional dan ulama dalam Pas.

"(Dalam hal ini) saya merujuk kepada Dewan Ulama. Tak berlaku pertembungan. Di Kedah sebenarnya tak berlaku perkara itu. Di peringkat nasional mungkin," katanya. 
 
Ditanya adakah tindakan beliau dan Dr Ismail ini akan memberi kesan kepada Pas dan kerajaan negeri memandangkan keputusan itu dibuat ketika pilihan raya.umum semakin hampir, katanya, beliau tidak meletakkan jawatan sebelum ini kerana kerajaan negeri belum stabil dan beliau yakin itu tidak menjejaskan Pas.
 
"Menteri Besar dah cakap kerajaan Kedah teguh dan mendapat sokongan yang baik. Dia boleh lantik orang lain sebagai Exco," kataya.
 
Mengenai jawatan dalam parti, Phahrolrazi berkata beliau akan memikirkan semula mengenai jawatannya sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah. 

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive