Friday, February 3

Kesian Ostaz Azizan Kena Tutup Mulut?



Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin membidas campur tangan politik pembangkang dalam urusan pentadbiran institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya membabitkan isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Alor Setar.

Tegas beliau, perkembangan terbaru apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak diarahkan supaya menutup mulut daripada memberi komen mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) jelas menunjukkan pembangkang mengamalkan pencabulan hak asasi.

"Arahan tutup mulut terhadap Datuk Seri Azizan dalam isu Kuin jelas (menunjukkan) pencabulan hak asasi dan kebebasan bersuara yang di lalak oleh pembangkang.

"Isu Kuin jelas membuktikan campur tangan politik secara langsung oleh pembangkang dalam urusan IPTA dan IPTS," kata beliau menerusi akaun twitternya di sini hari ini.

Zulkifli mengulas mengenai pengakuan Azizan seperti yang dilaporkan media bahawa beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan berhubung Auku selepas mendapat arahan daripada pihak atasan.

Bagaimanapun Azizan tidak mendedahkan mengenai pihak yang mengeluarkan arahan tersebut.

Namun difahamkan arahan berkenaan diterima daripada kepimpinan PAS.

Dalam pada itu, memetik laporan Mstar Online PAS menafikan sekeras-kerasnya parti itu mengeluarkan arahan 'tutup mulut' kepada Menteri Besar Kedah itu agar tidak memberi komen mengenai isu penggantungan lima mahasiswa terbabit.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata mungkin timbul salah faham dipihak Azizan berhubung isu berkenaan kerana parti itu tidak pernah mengeluarkan arahan seumpamanya.

"Tidak, tidak, tidak...kita tak pernah bagi arahan suruh Datuk Seri Azizan tutup mulut. Tak mungkin kita bagi arahan macam itu.

"MB (Menteri Besar) mungkin sudah salah faham," katanya.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, PAS sebaliknya meminta Azizan menyelesaikan isu Kuin secara kekeluargaan dan bukannya secara terbuka khususnya melalui media.

"Yang kita nasihatkan ialah agar beliau selesaikan secara dalam keluarga, selesai secara baik.

"Kita tak mahu kecoh-kecoh... itu sahaja. Perkara ini boleh diselesaikan secara aman," katanya.

Arahan menutup mulut itu diterima selepas Azizan membidas pihak yang mengkritik dan menyerangnya berhubung tindakan penggantungan lima pelajar Kuin, yang didakwa dilakukan mengikut Auku.

Azizan mendakwa pihak yang menyerangnya itu tidak mendapat maklumat betul kerana tindakan diambil Kuin itu bukan mengikut Auku, sebaliknya mengikut Akta IPTS 1996 kerana universiti milik kerajaan negeri itu dikategorikan sebagai IPTS oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
antarapos

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive